I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, November 21, 2008

Kebangkitan Islam. Apakah peranan kita?


10 perubahan kebangkitan Islam

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sebagai seorang yang bertauhidkan Allah dan beriman kepada ajaran Rasulullah, kita sering tertanya-tanya, bila Islam akan bangkit dengan gemilang di kala Islam sekarang diaggap agama pengganas. jesteru, kita sebagai insan yang berfikir dengan hati yang nurani harus sedar bahawa selagi tiada perubahan dalam masyarakat muslim khususnya, maka kita tidak akan dapat melihat kebangkitan Islam di dunia ini. Saya ingin kongsikan 10 perubahan kebangkitan Islam yang digariskan oleh al-Qardhawy Dalam bimbingannya ini, beliau telah menggariskan sepuluh titik (point) peralihan utama, iaitu :

1. BERALIH DARIPADA FORMAT DAN SIMBOL KEPADA HAKIKAT DAN KANDUNGAN

Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpamanya, seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat, tetapi pada waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tunutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.

2. BERALIH DARIPADA PERDEBATAN KEPADA PERBUATAN

Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Pada waktu yang sama, gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa atau memberikan alternatif cadangan yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap begini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif.

3. BERALIH DARIPADA SIKAP EMOSIONAL KEPADA SIKAP ILMIAH

Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam lebih cenderung mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu dan aqidah atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.

4. BERALIH DARIPADA SIKAP MENUMPUKAN PERHATIAN DALAM MASALAH CABANG KEPADA MASALAH POKOK

Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjemaah, tetapi pada waktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?

5. BERALIH DARIPADA SIKAP MENYULITKAN KEPADA SIKAP MEMUDAHKAN

Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat/berkhatan, padahal amalan ini bukanlah sepatutnya agenda pertama dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.

6. BERALIH DARIPADA SIKAP JUMUD DAN TAQLID KEPADA SIKAP IJTIHAD DAN PEMBAHARUAN

Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah suatu yang harus dikesampingkan dan ditinggalkan kerana ia kononnya tidak dirangkumi oleh syariat Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para Imam Mazhab sendiri bertegas tidak memaksa umat Islam untuk bertaqlid kepada mazhab mereka dan kedua, para Imam Mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

7. BERALIH DARIPADA SIKAP EKSKLUSIF KEPADA SIKAP INKLUSIF

Eksklusif ialah sikap sukakan publisiti atau sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisih serta memperlekeh orang lain manakala inklusif ialah sikap merendah diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam A.S telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sikap eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang bercirikan jamaah dan kerjasama win-win.

8. BERALIH DARIPADA SIKAP BERLEBIH-LEBIHAN KEPADA SIKAP BERSEDERHANA

Islam agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai
berlebihan (ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong kepada sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syariat Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam berada di antara kedua-duanya kerana inilah jalan yang lurus dalam menghasilkan kejayaan sebenar.

9.BERALIH DARI SIKAP BERKERAS KEPADA SIKAP BERHIKMAH

Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa mereka beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.

10. BERALIH DARIPADA PERTELINGKAHAN KEPADA PERSATUAN

Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ini ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syariat Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang di sebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecahdan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi umat ini.

Jesteru, selagi mana perubahan ini tidak diaplikasikan dalam kehidupan harian, maka agak mustahil untuk melihat Islam yang gemilang, yang diakui oleh semua lapisan bangsa di dunia ini.